Kehebatan Sukarno menakluk hati wanita
RABU lalu, kota Jakarta dan semua bandar di Indonesia bergema dengan nama Sukarno sempena 100 tahun kelahiran presiden pertama negara itu. Pelbagai sambutan diadakan bagi mengenang tokoh yang mengisytiharkan kemerdekaan Indonesia pada tahun 1945 dan meninggal dunia pada tahun 1970.
Namun Sukarno bukan sahaja dikenang sebagai seorang pemimpin unggul Indonesia yang telah berkhidmat hampir 22 tahun kepada bangsa Indonesia sebagai presiden tetapi beliau juga dikenali sebagai `penakluk wanita' paling hebat di negara itu.
Kini sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-100, kisah-kisah cinta Sukarno yang cukup unik dan menarik kembali dicanangkan di media massa utama Indonesia.
Justeru, minggu ini penulis akan memaparkan kembali kisah menarik tersebut sebagai renungan dan pengetahuan kita bersama.
Isteri terakhir yang dinikahi secara rasmi oleh Sukarno ialah Heldy Djafar setahun sebelum kejatuhannya sebagai presiden pada tahun 1967.
Perkahwinan dengan Heldy hanya berlangsung selama dua tahun kerana selepas kejatuhannya Sukarno dihumban ke dalam tahanan di Wisma Yaso, Jakarta.
Heldy merupakan salah seorang daripada sederet wanita yang pernah jatuh di bawah jajahan takluk cinta Sukarno dan berkahwin dengannya.
Wanita-wanita lain yang pernah menjadi isteri beliau ialah Utari Tjokroaminoto, Inggit Garnasih, Fatmawati (ibu Naib Presiden, Megawati Sukarnoputri), Hartini, Yurike Sanger, Haryati, Kartini Manoppo dan Ratna Seri Dewi.
Beberapa perkahwinan Sukarno berakhir dengan perceraian manakala wanita yang mampu bertahan sehingga Sukarno meninggal dunia pada tahun 1970 ialah Hartini dan Ratna sari Dewi.
Daripada sembilan isterinya itu, Fatmawati yang melahirkan lima orang anak Sukarno (termasuk Megawati) menjadi Wanita Pertama Indonesia.
Sukarno sememangnya seorang lelaki yang cukup mengagumi kecantikan wanita. Atas sebab itulah dalam satu wawancara Sukarno pernah menyatakan, ``Tuhan menciptakan wanita penuh dengan keindahan. Saya fikir setiap lelaki normal senang melihat keindahan yang ada pada diri wanita.''
Bapa Megawati itu sememangnya mempunyai karisma untuk menakluk wanita sehingga beliau tidak pernah membeza-bezakan usia atau latar belakang wanita yang ingin ditakluknya.
Heldy dan Yurike misalnya dinikahi ketika mereka berusia 18 tahun. beza umur mereka dengan Sukarno ialah 48 tahun. Fatmawati disunting ketika berusia 20 tahun manakala Inggit Garnasih tua lebih 15 tahun daripada Sukarno. Ratna Sari Dewi pula adalah seorang wanita yang pernah bekerja di kelab malam dan kemudiannya menjadi model terkenal.
Haryati adalah seorang penari di Pejabat Setiausaha Negara. Mereka berkahwin pada tahun 1963 dan bercerai tiga tahun kemudian. Sukarno seterusnya berkahwin dengan Yurike Sanger pada tahun 1964, perkahwinan itu juga hanya bertahan tiga tahun.
Begitu juga dengan Kartini Manoppo, bekas pramugari syarikat penerbangan Indonesia, Garuda. Sukarno jatuh cinta pada Kartini apabila melihat potret wajah wanita itu yang dilukis oleh Basuki Abdullah. Mereka bernikah pada tahun 1959 dan memperoleh anak pada tahun 1967. Anak itu diberi nama Totok Suryawan Manoppo.
Namun kesemua wanita yang pernah tunduk kepada cinta Sukarno harus juga bersedia melihat api asmara mereka dengan Sukarno pudar apabila presiden itu bertemu wanita lain.
Dalam wawancara dengan majalah Tempo pada tahun 1999, Hartini menceritakan mengenai kegemaran Sukarno kepada wanita cantik.
``Cintanya kepada wanita yang cantik adalah beban bagi saya. Walaupun saya sudah berusaha menerima dia sebagaimana adanya, dia sangat mencintai keindahan, termasuk keindahan dalam kecantikan wanita,'' kata Hartini.
Malah bekas ajudannya, Bambang Widjanarko sepertimana dilaporkan oleh majalah Tempo pernah berkata, ``Daya tarik dan daya intelektualnya yang tinggi menjadikan Sukarno seorang master dalam menakluk hati wanita.''
Sememangnya sebagai lelaki Sukarno amat bijak mencari kelemahan wanita sehingga mereka tunduk kepada cinta kasanovanya. Salah satu cara yang beliau lakukan ialah dengan memuji dan memberi perhatian penuh kepada wanita yang diinginkannya.
Sudah menjadi hukum karma wanita sememangnya suka dipuji dan merasa disanjung. Atas sebab itulah Sukarno berjaya membuat wanita yang ingin ditakluknya benar-benar merasai hanya dia seorang sahaja yang dicintai oleh Sukarno.
Dalam usaha mencairkan hati seorang wanita, Sukarno tidak segan mengambil minuman untuk tamu wanitanya atau memimpin tangan mereka ketika turun dari kenderaan.
Bak kata Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dalam filemnya Madu Tiga, ``Mesti pandai pembohong, mesti pandai temberang tetapi jangan sampai hai pecah tembelang.''
Itulah yang dilakukan oleh Sukarno. Oleh kerana mempunyai banyak isteri, beliau harus benar-benar berhati-hati dalam tindak-tanduknya supaya `tembelang' tidak pecah.
Menurut Bambang, antara yang dilakukan oleh Sukarno ialah memastikan dirinya sentiasa berada dalam keadaan rapi tanpa menimbulkan `sebarang keraguan yang munasabah'.
Maksudnya, jika beliau mahu keluar dari rumah isterinya dan mahu ke rumah isterinya yang lain beliau akan memastikan pakaiannya tidak mempunyai sebarang kesan gincu bibir dan bau minyak wangi.
Jika ada, Sukarno bersedia untuk menggantikan pakaian dan mandi terlebih dahulu sebelum meluncur ke rumah isteri yang berikutnya. Sukarno sememangnya mempunyai alasan sendiri kenapa beliau berbuat demikian.
Menurut Sukarno, jika sekali sahaja seorang lelaki tidak mengakui bahawa dia mempunyai hubungan dengan wanita lain, sebaiknya dia berbohong untuk selamanya.
Demi untuk menjaga `tembelang' itulah, suatu hari Sukarno pernah mengarahkan pembantu-pembantunya merosakkan enjin kereta salah seorang isterinya dan menghadang jalan depan istana dengan sebuah lori bagi mencegah kehadiran isteri yang satu lagi.
Semua itu berlaku apabila isteri tersebut datang secara mengejut ketika Sukarno sedang `bercerekarama' dengan isteri yang lain. Namun Sukarno bukanlah takut kepada kemarahan seorang wanita kerana beliau juga mempunyai cara tersendiri untuk mengendali emosi seorang wanita.
Apa yang sering beliau lakukan ialah menulis kata-kata indah di atas satu kertas dan mengirimkan hadiah. Tindakan Sukarno yang paling berani (dan mungkin juga tidak mampu dilakukan oleh lelaki lain) ialah meminta kebenaran daripada isterinya yang baru dua hari bersalin untuk berkahwin lagi satu.
Peristiwa itu berlaku selepas dua hari Fatmawati melahirkan Guruh Sukarnoputra. Sukarno bertemu dengan wanita pertama tersebut untuk meminta izin bernikah dengan Hartini.
Walaupun peristiwa itu melukakan hati Fatmawati sehingga beliau berpindah ke Jalan Sriwijaya, Jakarta namun Fatmawati tetap menghormati Sukarno atas `keberaniannya' itu.
``Terlepas daripada perasaanku, satu hal yang patut dipuji: Bung Karno tidak hipokrit,'' kata Fatmawati dalam sebuah buku berjudul Catatan Kecil Bersama Bung Karno.
Pepatah lautan api sanggup direnangi bukan omong kosong bagi Sukarno kerana dalam memenuhi rasa cintanya kepada seorang wanita, Sukarno sanggup menempuh apa juga halangan.
Perkahwinan beliau dengan Hartini, misalnya satu tamparan terhadap kaum wanita Indonesia yang ketika itu sedang ghairah menuntut pelaksanaan undang-undang perkahwinan antipoligami.
Persatuan Wanita Republik Indonesia telah mengadakan demonstrasi membantah perkahwinan berkenaan namun Sukarno tetap mempertahankan perkahwinannya dengan Hartini dan menempatkan wanita itu di Istana Bogor sehingga beliau jatuh sebagai presiden.
Bagaimanapun tidak semua perkahwinan Sukarno menghasilkan anak. Ketika berkahwin dengan Inggit, Sukarno mengambil dua orang anak angkat iaitu Ratna Djuami dan Kartika, dengan Fatmawati beliau memperoleh lima orang anak iaitu Guruh, Megawati, Rachmawati, Sukmawati dan Guntur, dalam perkahwinan keempatnya dengan Hartini beliau memperoleh dua anak lelaki iaitu Taufan Sukarnoputra dan Bayu Sukarnoputra. Taufan meninggal dunia pada tahun 1980 kerana sakit.
Sukarno kemudian memperoleh seorang lagi anak hasil perkahwinannya dengan Ratna Sari Dewi iaitu Kartika Sari Sukarno yang kini bermastautin di New York.
Demikian kehebatan cinta presiden pertama Indonesia, Kusno Sosro Sukarno. Beliau kini bukan sahaja disanjung sebagai seorang pemimpin yang mampu menakluk hati 220 juta rakyat Indonesia tetapi juga merupakan Don Juan yang bijak mencairkan cinta setiap wanita yang dipandangnya.
Mungkin Sukarno boleh sahaja dianggap sebagai kasanova tetapi di sebalik kisah cinta dan perkahwinannya itu, ada pesanan yang tersirat untuk kaum lelaki zaman sekarang yang berhasrat berkahwin lagi iaitu harus mempunyai keberanian menempuh halangan dan mesti pandai temberang.
Ini kerana bak kata Sukarno: ``Seorang isteri akan memaafkan dan melupakan perbuatan suaminya yang salah, tetapi jika suaminya mempunyai hubungan dengan wanita lain... isterinya mungkin akan memaafkannya tetapi tidak akan pernah melupakannya.'' - MINGGUAN.
0 komentar:
Posting Komentar
katakan kata-katamu